Saturday, July 21, 2007

Alangkah Indahnya Syurga

Syurga adalah satu hadiah yang Allah janjikan kepada sekalian hambaNya yang beriman dan bertaqwa. Syurga yang digambarkan oleh Allah adalah merupakan satu Bandaraya Damai yang wujud di dalamnya keharmonian, keindahan, kenikmatan dan segala jenis kebaikan. Syurga juga jika kita gambarkan keindahannya pasti tidak akan terjangkau dengan tahap pemikiran aqal fikiran kita.

Dewasa ini, semakin berkurangan cerita-cerita berkaitan keindahan syurga. Di dalam kuliah-kuliah agama di masjid mahupun di pertemuan usrah, agak jarang sekali cerita tentang nikmatnya syurga. Syurga merupakan sogokan yang Allah sediakan jika sekiranya kita berjaya menjadi seorang manusia yang mengikut segala kehendak Allah tanpa ada satu pun yang ditentang. Maka kerana itu, semakin ramai yang tidak mahukan syurga dan hanya mengejar kenikmatan dunia kerana mereka tidak diberitakan akan alangkah nikmatnya jika berada di dalam syurga.

Jika ingin digambarkan akan nikmatnya syurga, seolah-olah kita sudah tidak mahu lagi hidup di dunia. Terasa mahu saja kita terus ke sana lantaran begitu indah. Dulu, ketika saya masih kecil, ketika pengaruh Arqam masih kuat, saya sering membaca buku-buku terbitan Arqam. Walaupun masih kurang mengerti, namun majalah-majalah dan buku Arqam yang ayah saya beli itulah yang saya baca. Diantaranya perihal cerita keindahan syurga yang digambarkan begitu nikmat sehingga amat seronok sekali dibaca. Sehingga ternanti-nanti keluaran seterusnya.

Hidup beragama ketika itu amat nikmat. Walaupun saya masih lagi belum baligh dan tidak cukup solat lima waktu, tapi saya amat suka dengan hidup beragama ketika itu. Masjid di tempat saya juga amat meriah dan sentiasa ramai orang. Di tambah pula dengan air pancut di kolam masjid, lampu warna warni yang menarik menjadi tarikan orang ramai untuk hadir ke masjid. Saya menjadi di antara budak-budak yang suka ke masjid. Di sekolah pula, guru-guru tidak lepas untuk turut menyelitkan unsur keislaman di dalam pengajaran. Walaupun subjek yang hendak diajar ialah Bahasa Melayu, tapi murid-murid di ajak untuk menyanyikan zikir Asmaul Husna beramai-ramai. Untuk subjek yang lain pula ada juga lagu Sifat 20. Itu semua lagu-lagu yang dinyanyikan oleh NadaMurni. Lagu yang sering berkumandang di televisyen tanpa menampakkan siapakah penyanyinya. Tapi amat seronok. Kalau ada lagu itu disiarkan di tv, kami sekeluarga sangup mendengarnya. Terasa ada roh di dalam lagu itu.

Apabila ada sambutan maulidur Rasul, sambutan yang dibuat memang benar-benar ikhlas dan bersungguh-sungguh. Saya masih ingat, ketika saya darjah 3, abang-abang darjah 5 dan 6 mempersembahkan pentomen yang berdasarkan sajak sakaratul maut NadaMurni. Sajak itu amat popular ketika itu. Siapa yang mendengar dan menyaksikan pentomen itu pasti meremang bulu roma. Ia disusuli dengan nyanyian nasyid Bila Izrail Datang Memanggil selepas pentomen itu juga oleh abang-abang. Nikmatnya beragama.

Persembahan pentomen itu seterusnya dipanggil oleh masjid untuk mengisi slot pada sambutan Maulidur Rasul peringkat masjid. Kedatangan amat ramai! Terasa seolah-olah sebuah perkampungan Islam yang diidamkan. Akal budak kecil seperti saya ketika itu hanya tahu main-main saja. Tapi, kesannya barulah saya dapat kecapi pada hari ini bilamana suasana itu sudah tidak wujud lagi.

Bercerita tentang indahnya syurga, menyebabkan kita akan bersungguh-sungguh dalam menegakkan agama. Bercerita tentang nikmatnya syurga akan membangkitkan lagi rasa cinta kita terhadap Allah swt. Ia juga akan dapat menerapkan sifat berkasih sayang sesama manusia lantaran hati setiap insan telah menjadi satu dan apabila antara hati – hati ini bertemu, ia akan dapat membuahkan sifat cintakan Allah.

Saya mengajak anda sekalian untuk berfantasi berkaitan keindahan syurga. Dalam sebuah buku kalau tidak silap saya berjudul Alam Ghaib, ada memberi gambaran tentang nikmatnya syurga. Apabila penghuni syurga masuk ke dalam syurga, mereka tidak mahu keluar lagi. Pabila kita berjalan, tiba-tiba melintas di hadapan kita seekor binatang. Serta merta nafsu makan kita datang dan berkeinginan untuk makan binatang tersebut. Dengan lintasan keinginan itu, maka binatang itu pun terhidang siap dengan aroma yang menusuk kalbu. Maka kita pun nikmati hidangan itu.

Perjalanan diteruskan menyusuri sepanjang tempat. Tiba terdengar kocakan air di bahagian lembah. Maka bila pergi ke arah itu, satu panorama sungai yang sangat indah. Bila menjejakkan kaki ke airnya, satu kedinginan yang luar biasa. Bila mandi di airnya, seolah-olah seperti mandi di dalam nikmat. Bila meminum airnya, terasa satu kemanisan yang amat sedap sehingga mahu saja diminum air di sepanjang sungai itu.

Selesai mandi, mahu naik ke tebing, bidadari-bidadari telah sedia menghulurkan tangan menyambut kita. Layanan yang melampaui raja itu akan terjadi jika kita berkehendak terhadap perkara itu.

Macam tu lah lebih kurang isi di dalam buku itu yang membayangkan seolah-olah kehidupan kita ketika sudah berada di syurga. Seumpama kita mengembara ke satu daerah yang tidak ada lagi peraturan, bebas, dan buat apa sahaja. Bila membaca buku itu, terasa seperti kita di antara penghuni syurga tersebut.

Apabila bercerita tentang syurga, dan hati kita akan berasa akan nikmatnya syurga itu pabila mendengarnya, maka hati kita masih lagi belum buta dan boleh ada potensi untuk digilap agar ia mampu membawa diri kita sebagai di antara penghuni syurga dan mana turut didiami oleh Nabi-nabi dan sahabat.

Untuk masuk syurga, syarat utamanya ialah taat pada perintah Allah. Bercita-cita besar untuk membangunkan Islam sehingga berjaya menguasi dunia. Untuk itu, Islam yang sedia ada kita anuti sekarang ini seharusnya kita cambahkan agar ia mampu tumbuh mekar dan memberi naungan kepada umat yang lain. Sebagai seorang insan yang mempunyai kesedaran, jadilah diri kita sebagai ‘tukang tanam’ benih Islam ini. Dan jagalah ia, siramilah ia dan bila ia sudah membesar kelak, maka kita kutiplah hasilnya. Tiada lain hasil yang kita harapkan melainkan Islam itu menjadi tinggi dan disayangi oleh umat Islam yang lain.

Dipetik dari http://www.safa.blogdrive.com/ - bandaraya safa

No comments: