Imam Ahmad bin Hanbal dilahirkan di bandar Baghdad, pada bulan Rabiulawal tahun 164 Hijrah, iaitu setelah ibunya berpindah dari bandar 'Murwa' tempat tinggal ayahnya.
Sifat-sifat Imam Ahmad bin Hanbal
Imam Ahmad bin Hanbal adalah seorang yang tinggi badannya, warna kulitnya hitam kemerahan, beliau gemar memakai inai dan memakai pakaian yang kasar dan memakai serban, kurang memakan makanan, beliau tidak berpeluang memakan makanan yang bermacam-macam pada kebanyakan makanannya dimasukkan cuka, beliau mengambil wudhuk tanpa pertolongan orang lain dan beliau membeli kasut dari kayu atau lain-lainnya serta dibawanya sendiri dan beliau duduk di atas hamparan yang lama sehingga carik-carik.
Imam Ahmad adalah seorang yang kuat ingatan, seorang yang faham dengan apa yang dihafaznya, juga beliau seorang yang bersifat sabar dan mempunyai azam dan juga selalu berkemahuan yang kuat, tetap dengan pendirian, tidak riak dan selalu menjauhi dari bergurau senda sehingga manusia lain tidak berani bergurau-senda di kala beliau ada bersama.
Dari Hujung Pena Ke Pintu Kubur
Imam Ahmad menuntut ilmu sepanjang hayatnya. Beliau tetap dengan mempelajari hadis sehinggalah beliau menjadi seorang imam. Sesetengah daripada manusia pernah berkata kepadanya disebabkan kehairanan dengan ketetapannya dalam menuntut ilmu sekalipun beliau sudah menjadi ketua dan tinggi kedudukannya, kata mereka: "Sehingga bilakah lagi engkau hendak menunutut ilmu pada hal engkau sudah menjadi imam bagi seluruh umat Islam? Imam Ahmad menjawab dengan berkata: "Dari hujung pena sehinggalah ke pintu kubur!"
Alangkah tingginya percakapannya! Ia adalah suatu percakapan yang mengkagumkan seluruh manusia dan seluruh alam. Ia adalah pengajaran yang mulia dari ajaran Islam yang mengajarkan kita bahawa ilmu itu dituntut dari buaian sehinggalah ke liang lahad. Menuntut ilmu adalah sesuatu kegemaran yang tidak dijemu-jemu. Imam Ahmad adalah orang yang menggunakan dakwat, pena, kertas di sepanjang hidupnya sebagaimana penyambungan kepada pelajarannya.
Imam Ahmad menguatkan lagi tujuan-tujuan percakapannya yang di atas, dengan katanya:"Aku menuntut ilmu sehingga aku masuk ke lubang kubur."
Alangkah baiknya bagi tiap-tiap orang penuntut jika mereka meletakkan kata-kata Imam Ahmad di hadapan mereka di setiap waktu: Dari hujung pena ke lubang kubur!
Percakapan Imam Ahmad di atas boleh jadi dirujukkan kepada percakapan yang digunakan oleh ahli-ahli akal dan fikir terhadap ahli-ahli hadis dan nakl, mengikut yang lahir kepada kita bahawa mereka menamakannya 'Ashabul Mahabir' sebagai menunjukkan bahawa mereka tidak hanya berpegang kepada akal fikiran sahaja bahkan mereka berpegang kepada tulisan-tulisan yang disalin dari buku-buku, mereka menuruti atau mempelajari hadis-hadis serta menulisnya dan dikatakan juga mereka adalah 'Hasywiyyah' perkataan Al-Hasy, ertinya ialah percakapan yang tinggi.
Konsisten Mengamalkan Sunnah
Di masa hidup Imam Ahmad, beliau sangat konsisten dalam mengamalkan sunnah Rasulullah s.a.w.. Muridnya, Imam Abu Daud mengatakan: "Aku melihat Imam Ahmad apabila menghantar jenazah, ketika mendekati pemakaman, menanggalkan sandalnya."
Imam Ahmad mengamalkan sunnah ini berdasarkan hadis di bawah ini:
"Ketika Rasulullah s.a.w. berjalan bersama Basyri, pandangannya terbentur pada seorang yang sedang berjalan di perkuburan dengan memakai sandalnya, kemudian baginda menegurnya: "Wahai si pemakai sandal, celakalah engkau! Tanggalkanlah kedua sandalmu." Orang itu kemudian menoleh dan ketika diketahuinya bahawa yang menegur adalah Rasulullah s.a.w., segera saja dia tanggalkan kedua sandalnya." (Riwayat Abu Daud, An-Nasa'i, Ibnu Majah, Ibnu Abi Syaibah dan Al-Hakim dengan sanad yang sahih).
Syeikh Al-Albani berkata di atas sikap Imam Ahmad mengamalkan sunnah ini: "Semoga Allah menganugerahkan kepadanya rahmat, betapa konsistennya orang ini dalam mengikuti As-Sunnah."
Abu Hatim pernah berkata: "Jika kamu dapati seseorang yang mengasihi Ahmad bin Hanbal maka ketahuilah orang itu adalah dari ahli Sunnah."
Sakit dan Wafatnya Dihadiri Ramai Orang
Menjelang wafatnya, beliau jatuh sakit selama sembilan hari. Mendengar sakitnya, orang-orang pun berdatangan ingin menjenguknya. Mereka berdesak-desakan di depan pintu rumahnya, sampai-sampai sultan menempatkan orang untuk berjaga di depan pintu. Akhirnya, pada permulaan hari Jumaat tanggal 12 Rabiulawal 241H, beliau menghadap kepada Rabbnya menjemput ajal yang telah ditentukan kepadanya.
Kaum Muslimin bersedih dengan kepergian beliau. Tak sedikit mereka yang turut menghantar jenazah beliau sampai beratusan ribu orang. Ada yang mengatakan 700 ribu orang, ada pula yang mengatakan 800 ribu orang, bahkan ada yang mengatakan sampai satu juta lebih orang yang menghadirinya. Semuanya menunjukkan bahawa sangat banyaknya mereka yang hadir pada saat itu demi menujukkan penghormatan dan kecintaan mereka kepada beliau. Beliau pernah berkata ketika masih sihat, "Katakan kepada ahlu bid'ah bahawa perbezaan antara kami dan kalian adalah (tampak pada) hari kematian kami."
No comments:
Post a Comment