Saturday, July 7, 2007

Alangkah Azabnya Neraka


Assalamualaikum wbt.
Apa yang tergambar di kotak minda kita apabila menyebut atau mendengar tentang neraka? Adakah timbul satu ketakutan yang amat sangat sehingga terasa satu perasaan kerdil dan hina lantaran azab yang amat pedih dan menyakitkan. Atau hanya seqadar senyum-senyum saja kerana lansung tidak ada perasaan takut di benak hati setiap orang.Mahu digambarkan di peringkat permulaan neraka itu bahawa ia dijaga oleh Malaikat bernama Malik. Sejak kecil lagi kita diajar tentang tugas-tugas malaikat. Dan apabila menyebut malaikat Malik, gambaran yang guru beri adalah makhluk yang berwatak bengis, garang dan amat menakutkan. Umpamakan saja jika kita pergi ke pejabat Guru Besar dulu ketika di sekolah. Terasa seoalah-olah mahu tercabut nyawa apabila berhadapan dengan Guru Besar. Begitulah jua apabila berhadapan dengan malaikat Malik ini. Watak yang Allah berikan padanya adalah bersifat garang bersesuaian dengan keadaan neraka yang dijaganya itu.Belum pun masuk ke dalam neraka, bahang kepanasan sudah terasa di muka pintunya. Malah jika ingin dibandingkan api kepanasan di dalam dunia ini dengan api neraka, bezanya adalah amat jauh sekali. Saya pernah teringat guru saya pernah mengatakan api di dunia ini jika nak banding api neraka hanya setitis sahaja. Api yang setitis itupun sudah di tapis banyak kali dan jika setitis api itu jatuh ke lautan air di bumi, sehingga air itu kering, ia tak mampu untuk memadam maraknya setitis api dari neraka itu.Dalam perjalanan mikraj Rasulullah SAW, nabi banyak digambarkan perihal pembalasan yang bakal diterima dari kalangan manusia yang melanggar peraturan Allah ketika di dunia. Dan pembalasan itu kelak semestinya akan dijalankan di dalam neraka yang di dalamnya turut didiami kala jengking, ular berbisa, api panas membaca, timah yang mendidih dan segala macam azab. Di antara hukuman yang disediakan adalah seperti akan dituangkan timah yang dalam keadaan mendidih ke dalam telinga orang-orang yang terpesona apabila mendengar suara perempuan yang dimerdukan. Ketika saya mendengar qisah hukuman ini, darah gemuruh saya datang. Al-maklum di sekeliling kita sudah banyak suara wanita yang dimerdukan. Pergi ke mana saja pasti akan terdengar wanita menyanyi. Saya tidak pasti akan hukuman itu berubah-ubah atau tidak kerana ketika zaman ini sudah ada juga wanita yang menyanyi atas niat dakwah.Seksaan di neraka dan seksaan di alam barzakh adalah satu keadaan yang berlainan. Seksaan di alam barzakh adalah dijalankan oleh petugas Allah iaitu malaikat munkar dan nakir. Mereka ini seumpama guru disiplin ketika di sekolah dahulu. Mereka ini akan buat pemeriksaan kepada perihal asas kehidupan manusia. Jika didapati seseorang itu tidak mengikut peraturan, maka hukuman akan dijalankan ‘on time’ ketika itu juga. Dan harus diingat, segala hukuman itu akan berterusan sehinggalah di hari kiamat. Cuma ada riwayat mengatakan, seksaan di alam barzakh akan di hentikan apabila menjelang bulan Ramadan. Malaikat munkar dan nakir akan bertanya soalan-soalan basic seperti Siapa Tuhan Kamu, Siapa Pemimpin Kamu, Apa Agama Kamu?.Saya tidak pasti sama ada masih ada lagi umat zaman sekarang yang akan berasa takut jika diberitakan perihal seksaan sebegini. Itu baru di alam barzakh. Jika di alam barzakh pun sudah ‘kantoi’, bagaimana pula di hari keadilan nanti> di hari timbangan amalan kita. Di sana sudah tidak boleh rasuah. Di sana mahkamah yang sangat adil. Tidak ada lansung penipuan. Amalan kita akan ditimbang di neraca al-Mizan dan jika amalan kebaikan itu lebih berat, syukurlah, ada peluang untuk kita jejak ke dalam syurga. Tingkat syurga yang keberapa itu tidak pasti. Tapi sudah ada harapan masuk syurga!Bagaimana pula jika timbangan itu berat kepada kejahatan? Apa yang menolong menambah berat kejahatan? Banyak! Tidak menutup aurat. Berbohong. Mencuri. Merogol. Berzina dan sebagainya. Segala hukuman itu jika tidak dihukum di dalam dunia, ia akan berlanjutan di bawa ke akhirat. Tapi, jika hukuman itu sudah dijalankan di dalam dunia, maka di akhirat sudah tidak di kira. Sebagai contoh, jika seseorang lelaki bujang berzina, hukuman yang sepatutnya dijalankan kepadanya di dalam dunia ialah 100 kali sebatan. Jika di dunia sudah di sebat sebanyak 100 kali, maka di akhirat nanti kesalahan zinanya itu sudah tidak di ungkit lagi. Itu untuk satu kesalahan saja. Pada hari ini, manusia sudah sewenang-wenangnya berzina dan melakukan maksiat kerana mereka tidak pernah diceritakan perihal betapa azabnya seksaan Allah bila di neraka nanti.Saya pernah terbaca kenyataan dari salah seorang umat Islam yang mengatakan: ‘umat islam tidak perlu takut, kalau masuk neraka pun sekejap saja, lepas tu akan masuk syurga juga’. Saya tidak tahu orang ini imannya berada di ‘level’ mana. Gaya percakapan yang sungguh angkuh dan sombong seolah-olah dialah yang mentadbir perihal syurga dan neraka. Sedangkan mungkin dia tidak tahu segala perihal syurga dan neraka adalah berada di tangan Allah dan kita sebagai makhluk tidak boleh sesuka hati menetapkan sesuatu perkara itu hanya menggunakan logik aqal semata-mata. Saya rasa, orang ini ada membaca ayat bahawa setiap umat Islam yang mempunyai iman walaupun sebesar biji sawi, walaupun dia dihukum, akhirnya nanti akan masuk syurga juga.Orang sebegini adalah orang lansung tidak takut azab Allah dan kemungkinan juga dia tidak takut pada Allah. Mungkin dia yaqin dengan adanya perkataan Islam di dalam IC nya itu, dapat memberi bahan bukti kepada Allah bahawa dia adalah di kalangan orang yang beriman.Mungkin satu kesilapan dirinya bahwa, apabila kita mati, IC tidak akan boleh di bawa bersama. Pejabat pendaftaran akan minta dipulangkan. Jika nak bawa juga, kene wasiat kepada waris akan jangan lupa fotostat IC dan kepilkan di dalam kain kapan sebagai bahan bukti dia adalah orang Islam. Nanti jika mahu dimasukkan ke neraka, bolehlah beri salinan IC ini kepada Allah.Allah bukan tuhan yang bodoh. Allah tuhan yang maha bijaksana. Allah tidak akan ditipu dan tidak akan menipu. Namun, ramai di kalangan makhluk ciptaannya yang menipu. Yang menjadi kurang ajar kepada tuhan yang mencipta dia. Dia menyangka Allah akan terpedaya dengan tipu helahnya. Dia mungkin berasa amal ibadat yang ditunjuk-tunjuk di depan orang ramai itu juga akan mengkaburi mata Allah. Namun apa yang sebenarnya dia dapat hanyalah kemurkaan dan kemarahan Allah.Mari berdoa semoga dijauhkan daripada seksaan neraka.Fakta tambahan: Antara nama-nama neraka ialah: Jahannam, Jahim, Saqar, Sijjin, Hawiah, Huthamah. Neraka Jahanam adalah neraka paling buruk dalam sebanyak-banyak tempat kembali berdasarkan firman Allah dalam ayat 162 Surah Ali Imran:'Apakah orang yang mengikuti keredhaan Allah sama dengan orang yang kembali membawa kemurkaan (yang besar) dari Allah dan tempatnya adalah Jahanam? Dan itulah seburuk-buruk tempat kembali.'dan juga ayat 206 Surah Al-Baqarah: 'Dan apabila dikatakan kepadanya: "Bertakwalah kepada Allah", bangkitlah kesombongannya yang menyebabkannya berbuat dosa. Maka cukuplah (balasannya) neraka Jahanam. Dan sungguh neraka Jahanam itu tempat tinggal yang seburuk-buruknya.'Banyak lagi ilmu dan perkara yang masih berada di luar pengetahuan kita. Mari Beramal kerana Allah.

No comments: