AMPANG, 12 Jun(Hrkh)-PAS menggesa Parlimen menubuhkan badan bebas bagi menyiasat punca banjir kilat yang berlaku di ibu kota serta sejauh mana keberkesanan Terowong Smart dapat mencapai objektif untuk menyelamatkan Kuala Lumpur daripada banjir kilat.
Ketua Pemuda PAS, Salahudin Ayub yang mengulas isu tersebut mengharapkan badan penyiasat tersebut dapat ditubuhkan serta merta.
Di samping itu, katanya kerajaan seharusnya menjelaskan pemasalahan dihadapi dalam mengendalikan Terowong Smart tanpa hanya memikirkan keuntungan dan tujuan komersil semata-mata.
"Kami di pihak ahli Parlimen juga tidak mengetahui bilakah Terowong Smart ini akan berfungsi sepenuhnya. Cuma kami diuar-uarkan Terowong Smart ini untuk mengatasi masalah banjir di ibu kota.
"Kami juga berasa pelik kenapa Terowong Smart ini tidak berfungsi semalam. Apabila Perdana Menteri mengadakan lawatan mengejut barulah kita dimaklumkan Terowong Smart ini belum dapat berfungsi sepenuhnya. Perkara ini mengecewakan kerana kita telah membelanjakan wang rakyat RM1.6 bilion," jelasnya sewaktu ditemui Harakahdaily selepas Ketua Pemuda PAS itu bersama rombongannya melawat mangsa banjir di Lembah Jaya Utara, dekat sini hari ini.
Salahudin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian juga mempersoalkan kewajaran bayaran RM2 yang dikenakan kepada pengguna dalam keadaan terowong Smart yang belum siap sepenuhnya.
Beliau berpendapat belum sampai masanya untuk dikenakan tol kepada rakyat selagi Terowong Smart itu tidak dapat mengatasi masalah kesesakan lalulintas serta mengatasi masalah banjir.
"Ini tujuan dan objektif asal Terowong Smart dibina dengan harga yang begitu besar. Jadi tidak seharusnya tol dikutip terlebih dahulu sedangkan kita dapat tahu bahawa fungsi untuk laluan banjir ini masih lagi tidak dapat dilaksanakan dan tidak dapat beroperasi dengan baik,"katanya.
Dalam pada itu katanya, sudah sampai masanya Abdullah mengambil tindakan yang lebih tegas terhadap Menteri Kerja Raya, Dato' Seri S.Samy Vellu kerana terlalu banyak kerja-kerja yang melibatkan kementerian tersebut yang dipertikaikan.
"Kalau di luar negara saya rasa menteri di kementerian seumpama ini sudah lama membunuh diri atau telah lama meletakkan jawatan. Jadi saya menggesa Samy Vellu meletak jawatan dan jika beliau enggan Abdullah seharusnya memecat beliau serta merta kerana banyak masalah tidak dapat diselesaikannya,"katanya.
Sementara itu selepas melakukan tinjauan serta lawatan mangsa banjir, pihaknya dengan kerjasama Pemuda PAS Wilayah Persekutuan sedang mengadakan perbincangan tentang bantuan selanjutnya yang boleh dihulurkan pasukan Unit Amal.
"Sekiranya bekalan air pulih kita akan bersama-sama membantu penduduk di sini membersihkan rumah mereka. Buat masa ini kita tidak dapat menjalankan kerja pembersihan memandangkan tekanan air rendah,"katanya.
Dalam pada itu, Pemuda PAS juga menghulurkan bantuan air mineral memandangkan bekalan air yang tidak bersih selepas banjir.
No comments:
Post a Comment