Bismillahirrahmanirahim…assalamualaikum wbt.
"Dari Muadz Bin Jabal berkata, Rasulullah saw pernah bersabda, ‘Pelajarilah ilmu, kerana mempelajarinya kerana Allah adalah ketakutan, mencarinya merupakan ibadah, menyebut-nyebutnya merupakan tasbih, membahaskannya merupakan jihad, menyampaikannya kepada orang yang layak menerimanya merupakan taqarrub, kerana ilmu itu tanda halal dan haram dan menara jalan para penghuni syurga. Ilmu merupakan pendamping di saat ketakutan, teman saat terasing, teman bicara apabila berseorangan, dalil atas kesenangan dan kesusahan, senjata dalam menghadapi musuh, hiasan di hadapan teman. Allah memuliakan banyak kaum dengannya, lalu menjadikan mereka penggerak dalam kebaikan, dan jejak mereka apabila dituruti menjadi rujukan. Para malaikat berhasrat menyertai mereka, memelihara mereka dengan sayapnya. Mereka memohon keampunan bagi golongan ini, dan segala hidupan di darat dan juga di lautan berdoa untuknya. Kerana ilmu adalah sinar hati dari kejahilan dan merupakan penyuluh dari kegelapan. Seorang hamba akan mulia di dunia dan di akhirat disebabkan ketinggian ilmu. Memikirkan ilmu sama seperti puasa, mempelajarinya sama seperti bersolat pada waktu malam. Hubungan akrab dapat dihubungkan dengan ilmu. Yang halal dan haram dapat diketahui dengan ilmu. Ia merupakan iman amal dan amal mengikutinya. Ia memberikan ilham kepada orang-orang yang berbahagia, dan tidak dapat dirasai oleh golongan yang sebaliknya’ (Diriwayatkan Ibn Abdil Barr An-Namry di dalam Kitabul Ilmi dari riwayat Musa Bin Atha’ Al- Qursyi)"
Suka saya mengambil hadis ini sebagai menunjukkan betapa peri pentingnya ilmu kepada manusia, terutamanya bagi mereka yang telah beraqal. Apalagi bagi para pendukung Islam yang mencintai perjuangan Rasulullah saw ini.
Tidak akan berjaya sesuatu kaum tanpa ilmu. Allah SWT menukilkan Luqmanul Hakim di dalam QalamNya kerana ketinggian ilmunya. Tiada gunanya jika kita selaku amil islami tidak mempelajari ilmu dan mendalaminya ikhlas kerana Allah. Maka binasalah sesuatu kaum apabila dipimpin oleh golongan yang tidak berilmu.
Hari ini, jika kita perhatikan kita ketinggalan 100 tahun di belakang US dan Yahudi. Baru-baru ini tentera penceroboh di Iraq telah berjaya menghasilkan sebuah robot yang tidak akan mati dan akan menyerang dan menggila di Iraq. Bulan hadapan, mungkin kita akan tahu apakah nasib sahabat-sahabat kita di sana. Persoalannya, di manakah kita? Apakah peranan kita? Saya tertarik dengan sikap kepimpinan tokoh-tokoh terdahulu, Hassan Al - Banna, Ustaz Hassan Al - Hudaibi, Mustafa Masyhur, Syed Qutb yang mengarang Tafsir Fi Zilalil Quran sewaktu dipenjarakan, dan tokoh terkini Sheikh Wahbah Zuhaily mengarang Tafsir Al-Munir dan Al - Qaradhawi yang telah banyak mengarang kitab-kitab muktabar yang menjadi rujukan utama seluruh dunia. Dr. Sheikh Yusuf Al - Qardhawi misalnya, merupakan ulama ulung yang menjadi rujukan gerakan Islam di Eropah, dan beliau merupakan di antara pengarang kitab yang terbanyak. Bagaimanakah mereka dapat menghasilkan penulisan yang berkualiti dan dalam pada masa yang sama mereka disibukkan dengan tugas seharian? Bagaimanakah pula dengan saya atau diri kita?
Sahabat - sahabat yang dirahmati Allah,
Melihatkan kepentingan dan tuntutan Islam kepada ilmu ini. Maka di sini, saya selaku hamba Allah yang hina menyeru supaya kita bersama-sama menambahkan ilmu kita melalui pembacaan dan pengajian kita. Mudah - mudahan diberkati Allah Dunia dan Akhirat.
Disiplinkan diri dengan ilmu dan pelajarilah Al – Quran serta tafsirnya.
No comments:
Post a Comment