KUALA LUMPUR, 31 Mei (Hrkh) - PAS melahirkan kesyukuran di atas keputusan majoriti hakim 2:1 menolak permohonan Azlina Jailani (Lina Joy), 42, untuk membuang status agamanya daripada kad pengenalan beliau.
Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa sewaktu dihubungi Harakahdaily mengucapkan syukur kerana keputusan tersebut memberi satu imej terhadap Islam di samping akan terus menjadi titik tolak dalam mempertahankan akidah dan syariat Islam.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz Taib Azamuddin berpendapat keputusan tersebut merupakan suatu keputusan lebih daripada keputusan biasa serta mengharapkan mudah-mudahan pihak mahkamah yang terlibat dengan keputusan tersebut dirahmati dan diberkati Allah.
"Menyelamatkan seorang muslim daripada murtad suatu jihad yang besar. Keputusan menolak permohonan Lina Joy untuk membuang perkataan Islam daripada kad pengenalan adalah sebahagian daripada usaha yang dilakukan mahkamah. Sepatutnya apabila mahkamah membuat keputusan tersebut, Lina Joy seharusnya meneliti semula serta menginsafi apa yang telah dilakukannya.
"Agama bukan mengikut perasaan dan mengikut kepentingan. Agama berkaitan dengan ketuhanan. Apabila berkaitan dengan ketuhanan, asasnya berdasarkan kepentingan dan kemahuan. Kepentingan dan kemahuan kita dipengaruhi oleh banyak sudut sedangkan agama adalah perkara kebenaran. Kebenaran pula tidak berdiri semata-mata berdasarkan kemahuan seseorang," katanya sewaktu dihubungi Harakahdaily.
Justeru katanya, Lina Joy seharusnya bersikap rasional serta merujuk perkara berkaitan agama kepada ahli agama.
Katanya, jika dia tidak memahami mengenai hukum-hakam Islam, dia seharusnya rujuk kepada mereka yang arif mengenainya.
Semalam, dalam perbicaraan di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya, Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim bersama seorang lagi hakim Dato' Alauddin Dato' Mohd Sheriff mengetepikan permohonan Azlina,, manakala seorang lagi hakim, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Dato' Richard Malanjun membenarkan permohonan tersebut.
Keputusan tersebut disambut dengan gemuruh takbir oleh lebih 500 umat Islam yang hadir di perkarangan Mahkamah Persekutuan.
No comments:
Post a Comment