Menurut pandangan hukamah, kedatangan tahun baru 1430 Hijiriah dan tahun 2009 Masehi ini mempunyai petanda yang signifikan. Justeru itu, marilah kita menggandakan segala usaha dan tenaga kita untuk mempergiatkan lagi amalan-amalan baik dalam kehidupan kita seharian.
Bagi ahli-ahli Silat Cekak Hanafi, kita memanjatkan doa ke hadrat Ilahi agar apa jua sumbangan kita, dalam apa bentuk sekali pun akan menjadi satu ibadah yang diterima hendaknya olehNya.
Sejak Allahyarham Ustaz Hanafi meninggalkan kita pada tanggal 13 Ogos 1986 yang lalu, pergerakan Silat Cekak telah dilanda dengan pelbagai ujian dan halangan. Yang memedihkan hati kita adalah ujian-ujian ini datangnya daripada dalam pergerakan kita sendiri. Yang menyakitkan hati kita adalah ujian-ujian ini datangnya daripada mantan-mantan guru utama yang sememangnya dipertanggungjawabkan untuk memimpin dan menerajui pergerakan kita sejajar dengan asas-asas perjuangan yang ditinggalkan oleh Allahyarham Ustaz Hanafi kepada kita semua.
Berbanding dengan pencapaian kita di zaman Ustaz Hanafi dahulu, pergerakan Silat Cekak di zaman pasca Ustaz Hanafi menjadi lesu dan perpecahan dalaman berlaku di dalam pergerakan kita. Semuanya angkara ahli-ahli yang berada di dalam pergerakan kita.
Kewibawaan mantan guru utama yang pertama tergugat kerana beliau tidak mampu menjadi pendamai dalam krisis yang berlaku pada tahun 1993.
Sehingga kini, beliau masih lagi bergerak tanpa mandat yang sah. Namun pergerakan itu masih lagi lesu, tidak sehebat zaman Ustaz Hanafi.
Begitu juga dengan mantan guru utama yang kedua, yang mempunyai kes jenayah di mahkamah, kononnya pergerakan Silat Cekak adalah hak eksklusif keluarga. Sehingga kini masih lagi bergerak secara kongsi gelap tanpa mandat yang sah. Hatta, tidak mampu bergerak sendiri kerana kurang kredibiliti.
Bagi kita yang berada dalam pergerakan Silat Cekak Hanafi sekarang, bukan menjadi tanggung jawab kita untuk menjaga mereka, baik mantan guru yang pertama mahupun mantan guru yang kedua. Tanggungjawab kita adalah kepada ahli-ahli sedia ada di bawah kepimpinan Guru Utama yang mempunyai mandat yang sah iaitu YM En. Marwi bin Latif. Bersama-sama dengan para pendukung yang tulen, satu era baru bakal menjelma!
Oleh itu, sempena tahun baru ini, kita harus betekad untuk meneruskan perjuangan yang diasaskan oleh Ustaz Hanafi. Nama baik pengasas kita, Allahyarham Ustaz Hanafi mesti kita jaga kerana begitu besar jasa beliau kepada dunia persilatan Melayu. Begitu besar jasa beliau mendidik kita menjadi mukmin yang sejati.
Halatuju baru yang diilhamkan oleh MMK baru-baru ini adalah sangat bersesuaian dengan asas-asas perjuangan Allahyarham Ustaz Hanafi. Kita mahu melahirkan insan-insan yang berbudaya di kalangan semua ahli kita. Pergerakan kita akan menjadi lebih mantap bertenaga lagi berwibawa.
Salah satu anjakan paradigma yang dilahirkan oleh para pemimpin sekarang adalah wujudnya Akademi Silat Cekak Hanafi. Allahyarham Ustaz Hanafi semasa hayatnya mahukan pergerakan Silat Cekak berpaksikan akademik. Inilah yang telah diusahakan oleh para pendukung kita.
Pelbagai program dan aktiviti telah dirangkakan dan akan dilaksanakan setiap tahun sehingga 2015.
Ayuh rakan-rakan seperjuangan, marilah kita bergerak sehati sejiwa seiya dan sekata agar hasrat murni ini akan membuahkan pelapis-pelapis yang berwibawa; pelapis-pelapis yang “makan cekak”. Pelapis-pelapis pejuang nusa dan bangsa agar “melayu tidak hilang di dunia”
~dari cekakhanfi.com~
No comments:
Post a Comment