Sunday, August 31, 2008

Perpaduan Teras Kejayaan



Sebagaimana yang kita sedia maklum tema perayaan ulang tahun Hari Kemerdekaan ke 51 bagi negara kita Malaysia adalah "Perpaduan Teras Kejayaan". Kita percaya bahawa setiap rakyat dan individu yang berfikiran waras sudah tentu bersetuju dengan maksud tema ini. Kebiasaannya, perpaduan yang jitu akan menghasilkan kejayaan yang manis sebagai natijahnya.


Ustaz Hanafi semasa zamannya sangat menekankan isu perpaduan ini. Sebagai pengasas Silat Cekak, beliau yakin perpaduan di kalangan ahli-ahli adalah satu unsur penting dalam perjuangannya. Ustaz Hanafi tidak sekalipun menganggap Silat Cekak sebagai milik mutlaknya atau milik warisan keluarganya. Pada beliau, Silat Cekak adalah satu wadah pergerakan bangsa, ugama dan negara. Dengan ini, perjuangan lahiriah dan bathiniah Silat Cekak dapat dianuti oleh semua. Kedua-dua jasad dan roh Silat Cekak diperjuangkan dan kejayaan dicipta.

Salah satu makna “cekak” yang digubal oleh Ustaz Hanafi adalah "padu". Bila ada perpaduan maka adalah kekuatan dan kekuatan ini yang telah menghasilkan kejayaan Silat Cekak di zamannya itu.

Sejarah telah merakamkan bahawa kegemilangan Silat Cekak telah dicapai melalui perpaduan jitu yang dilahirkan hasil didikan Ustaz Hanafi. Nama Silat Cekak dan nama Ustaz Hanafi menjadi masyur kerana perpaduan jitu yang wujud dikalangan semua peringkat ahli iaitu daripada ahli biasa sehingga ke para pemimpin di peringkat cawangan negeri dan pusat.

Kejayaan ini tidak akan terhasil sekiranya para pendukung tidak bersepakat dan bersatu padu di bawah kepimpinan Ustaz Hanafi. Salah satu kejayaan besar Ustaz Hanafi di zamannya adalah wujudnya satu pasukan kerja yang mantap dan padu yang menyokong dan mendukung perjuangan Ustaz Hanafi dalam Silat Cekak.

Bagaimana Ustaz Hanafi memupuk perpaduan dalam Silat Cekak?

Pertamanya, pantang larang Silat Cekak yang melarang ahli-ahlinya bergaduh sesama sendiri serta menghormati mana-mana silat melayu asli yang lain. Perpaduan diwujudkan didalam dan diluar Silat Cekak.

Keduanya, setiap ahli Silat Cekak mempunyai kedudukan yang sama tanpa mengira kedudukan sosio ekonomi seseorang mahupun umurnya. Di dalam pergerakan Silat Cekak, semua ahli mempunyai hak yang sama.

Ketiganya, sebagai pemimpin utama, Ustaz Hanafi telah menyatupadukan ahli-ahli Silat Cekak dengan cara bijaksana. Beliau boleh bergaul dengan semua peringkat umur samada yang muda, sebaya dan yang lebih tua. Beliau berlaku adil dalam segala tindakannya. Yang benar tetap benar. Yang salah tetap salah. Teguran atau tindakan yang diambilnya adalah sejajar dengan kesalahan yang telah dilakukan. Ustaz Hanafi juga tidak mengamalkan sikap pilih kasih dikalangan ahli samada yang baru mahupun yang lama, di kampung mahupun di kota. Samada yang berjawatan atau ahli biasa. Disamping itu pula, Ustaz Hanafi tidak mengadu-domba ahli-ahli Silat Cekak. Beliau tidak mewujudkan budaya berpuak-puak dalam Silat Cekak. Inilah sifat kasih sayang tulen yang ditunjukkan oleh Ustaz Hanafi kepada semua anak muridnya.

Keempatnya, keupayaan Ustaz Hanafi sebagai seorang pentadbir telah berjaya menyusun pergerakan Silat Cekak dengan kemas dan teratur. Didukungi pasukan kerja yang mantap dengan ilmu dan kemahiran, maka kejayaan Silat Cekak sebagai silat nombor satu di negara ini pada zamannya tercapai. Silat Cekak disegani kawan dan lawan.

Kelimanya, Ustaz Hanafi menolak apa jua budaya taksub atau asyabiah terhadap dirinya sebagai guru. Beliau tidak akan membenarkan mana-mana ahli mengagung-agungkan dirinya sebagai guru utama sedangkan sebenarnya beliau adalah seorang guru yang berilmu lagi hebat. Bukan mudah untuk mendapatkan gambar potretnya. Bukan mudah untuk mencium tangannya kecuali sewaktu kunjungan hari raya. Bukan mudah untuk mendakapnya kecuali dalam waktu-waktu tertentu. Malah beliau tidak mengalakkan gambarnya digantung untuk di’sembah’ oleh anak-anak muridnya.

Daripada hujah-hujah yang disebutkan diatas ternyata Ustaz Hanafi telah berjaya mewujudkan perpaduan yang jitu dikalangan ahli-ahli sehingga memartabatkan Silat Cekak dipersada dunia persilatan di tanah air kita. Ini yang berlaku di zamannya.

Namun apa terjadi selepas Ustaz Hanafi meninggalkan kita 22 tahun yang lalu? Dimanakah kedudukan Silat Cekak di mata masyarakat umum sekarang? Mengapakah berlaku perpecahan sebanyak dua kali selepas Ustaz Hanafi kembali ke rahmatullah pada 13 Ogos 1986?

Sebenarnya, persoalan-persoalan ini perlu dijawab oleh mantan-mantan guru utama Silat Cekak kerana sebagai guru utama, mereka telah gagal memupukkan perpaduan dikalangan ahli-ahli Silat Cekak sehingga berlakunya perpecahan demi perpecahan. Sekarang, Silat Cekak tidak lagi semaju di zaman Ustaz Hanafi.

Jika Ustaz Hanafi berada dihadapan kita sekarang, apakah jawapan-jawapan yang akan diberikan kepada beliau?

Al-Fatihah

Petikan dari www.cekakhanafi.com

No comments: